Ibadah yang dibina di atas dasar akidah akan mengerak dan membentuk hati agar sentiasa patuh kepada ajaran Islam. Akidah beriman kepada Allah S.W.T, beriman kepada hari perhitungan dan pembalasan akan menjadikan hati manusia sentiasa hidup dan berwaspada setiap masa.
Individu itu sentiasa percaya dan menyedari bahawa Allah sentiasa bersamanya di mana sahaja dia berada. Tidak kira di rumah ataupun ketika musafir, di tempat yang nyata atau tersembunyi. Allah itu sentiasa mengetahui, mendengar dan melihat setiap perilaku manusia hatta apa yang terdetik di dalm hati sekalipun tidak di sembunyikan dari pengetahuan Allah S.W.T.
Orang yang beriman kepada Allah S.W.T dan hari Akhirat akan sentiasa menghitung diri, sedar dan waspada kerana menyedari akibat daripada segala pegangan dan tindakannya kelak. Mereka tidak berani untuk berbohong, menzalimi orang lain, khianat, sombong, berpura-pura dan lain-lain lagi akhlak yang buruk sama ada secara nyata atau tersebunyi.
Mereka juga akan selalu mengamalkan akhlak yang mulia kerana dalma hati mereka telah tertanam akidah yang benar. Mereka juga akan sentiasa berhati-hati sebelum beramal dan bertanya terlebih dahulu adakah amalan yang hendak mereka lakukan itu baik ataupun jahat? Mengapa ia perlu beramal? Kerana siapa dia beramal? Serta mereka juga akan selalu muhasabah diri selepas melakukan sesuatu amalan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan