Selasa, 21 Oktober 2008

ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM

Keluarga adalah merupakan struktur asas bagi keseluruhan sistem sosial dan kebudayaan di dalam Islam. Ia adalah merupakan satu institusi yang menjamin kestabilan sosial dan kebudayaan masyarakat keseluruhannya. Untuk membina sebuah keluarga yang bahagia dan di redai oleh Allah S.W.T. setiap ahli keluarga perlu mengamalkan nilai-nilai Islam di dalam keluarga. Dalam perkara ini, ibu bapa sebagai pemimpin keluarga perlu memainkan peranan agar setiap ahli dapat mengamal serta membudayakan nilai hidup Islam.


Untuk mewujudkan suasana keluarga yang bahagia, kita hendaklah sentiasa mengamalkan amalan solat berjamaah. Bapa sebagai pemimpin keluarga menjadi imam solat kepada isteri dan anak-anak. Seterusnya mengamalkan budaya membaca al-Quran bersama-sama agar kehidupan keluarga sentiasa berada dalam suasana kehidupan Islam. Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah membiasakan anak-anak dengan makan bersama tidak pada waktu siang atau malam kerana perjumpaan antara ahli keluarga semasa makan dapat mengeratkan lagi perhubungan.


Disamping itu, setiap ahli keluarga perlu sentiasa tolong menolong di antara satu sama lain serta sentiasa prihatin terhadap ahli keluarga yang lain. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana ia boleh membawa kepincangan dalam keluarga. Selain itu, ibu bapa hendaklah mengasuh anak-anak mengamalkan budaya memberi salam ketika hendak masuk ke rumah kerana memberi salam adalah suatu perkara yang dituntut di dalam Islam.

Tiada ulasan: