Sabtu, 18 Oktober 2008

POLITIK ISLAM (SOROTAN SEJARAH POLITIK RASULLUH S.A.W.)

Politik yang diamalkan di negara kita hari ini adalah cara politik yang dibawa dari barat yang diambil dari tamaddun Greek di Rome yang wujud sebelum tamadun Islam lahir. Melalui sistem politik inilah telah diambil kesempatan oleh sebahagian pejuang-pejuang Islam di Malaysia dan menggunakannya untuk memperjuangkan dan mendaulatkan agama Islam. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah begitulah juga keadaannya di negara-negara lain yang mengamalkan sistem politik ini seperti Pakistan, Mesir, Bangladesh, Algeria dan lain-lain lagi. Di negara-negara ini juga terdapat parti-parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam. Sebenarnya, kita tidak akan berjaya untuk memperjuangkan agama Islam ini kalau kita mengambil pendekatan lain selain dari cara yang ditunjukkan oleh Allah melalui RasulNya Nabi Muhammad s.a.w.

Kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam menegakkan pemerintahan Islam adalah kaedah yang diredai Allah. Kalau kita melihat kembali kepada perjuangan Rasulullah, ia bermula dengan mengajak manusia beriman (kalau dalam konteks Malaysia, kita kenalah mengajak secara hikmah orang Cina dan India supaya beriman) dan menghayati nilai dan akhlak yang mulia. Keutamaan perjuangan Rasulullah ialah membetulkan keimanan manusia dan membentuk akhlak mereka. Mendapatkan kuasa pemerintahan bukanlah merupakan keutamaan dalam Islam. Seperti firman Allah yang bermaksud "Tidak diturunkan Muhammad itu melainkan untuk membentuk akhlak manusia" . Oleh sebab itulah nabi tidak diturunkan beserta dengan bala tentera dan kelengkapan perang yang canggih bagi membantunya mendapatkan kuasa.

Baginda pernah ditawarkan untuk menjadi Raja oleh musyrikin Mekah, namun sebaliknya baginda menolak tawaran itu kerana itu bukanlah cara yang dikehendaki oleh Allah. Baginda tidak pernah memaksa orang ramai memeluk Islam atau mengikat manusia dengan peraturan dan undang-undang dunia. Sebaliknya nabi telah dapat menawan hati manusia dengan iman dan akhlaknya yang mulia. Tercatat dalam sejarah yang mana terdapat orang memeluk Islam kerana tersentuh dengan akhlak mulia Rasullullah itu sendiri. Pernah satu ketika Rasulullah menziarah seorang musyrik yang dikhabarkan sedang sakit, padahal orang tersebut sebelum itu kerapkali meletakkan tahi di depan pintu rumah baginda. Tentu siapa saja akan tersentuh dengan kemuliaan akhlak Rasulullah ini.

Justeru, sewajarnyalah pemimpin negara kita meniru kaedah yang telah ditunjukkan oleh rasulullah agar pentadbiran negara berjalan dengan lancar. Mereka tidak harus mentadbir negara berdasarkan kepentingan peribadi, tetapi mentadbir demi kepentingan rakyat. Para pemimpin juga harus mengamalkan sistem syura agar setiap keputusan yang dibuat mendapat sokongan ramai dan diberkati oleh Allah S.W.T.

Tiada ulasan: